User:MarkAHershberger/blog-RTL-Developers-wanted/ms
MediaWiki mengelola wiki-wiki yang terbesar dan paling dikenali di dunia. Berkat kelarisan dan kebergunaan Wikipedia serta keghairahan komunitinya, saya tidak dapat membayangkan mana-mana perisian lain yang mendapat sokongan pengantarabangsaan (i18n) yang lebih baik. Projek-projek seperti translatewiki.net dan sambungan Narayam telah tumbuh dengan cepat untuk meningkatkan sokongan i18n. Maka demikianlah inti bicara terbaik Perisian Bebas: serahkan hak milik perisian kepada orang ramai supaya mereka akan mempertingkatnya. Hasilnya, perisian kami semakin hebat.
Walaupun menikmati sokongan ini, MediaWiki dan Wikipedia masih kepincangan dari beberapa segi yang amat penting. Antara yang paling jelas kelihatan adalah pada bahasa-bahasa yang ditulis secara 'kanan ke kiri', bukan 'kiri ke kanan'. Kami pun cuba membetulkan masalah ini, tetapi hampir semua pembangun kami mengusahakan bahasa-bahasa 'kiri ke kanan', jadi kami tidak perasan masalahnya dengan cepat. Masalah berkenaan kurang mendapat perhatian kami, maka pengguna wiki dalam bahasa 'kanan ke kiri' seperti العربية (Arab), فارسی (Parsi), dan עברית (Ibrani) tidak mendapat sokongan yang sewajarnya.
Setiap bahasa itu mempunyai satu wiki yang mengandungi lebih 100,000 rencana. Sukar untuk dibayangkan bahawa ada di antara mereka yang menyumbang kepada wiki-wiki yang lebih besar ini turut memiliki kemahiran yang perlu untuk membetulkan beberapa pepijat 'kanan ke kiri' yang mungkin sekali menyusahkan mereka.
Agaknya para pembangun 'kanan ke kiri' dan pembangun 'kiri ke kanan' tidak cukup berkomunikasi sesama mereka. Jadi, jika anda seorang pembangun 'kanan ke kiri', izinkan saya menyeru anda dengan jelas: Kami mahukan anda! Anda mempunyai sesuatu yang tiada pada para pembangun MediaWiki semasa, iaitu sesuatu yang kami amat perlukan sekali. Cari pepijat, serahkan tampungnya, dan kod anda boleh berjalan di Wikipedia!
Pepijat untuk anda mulakan:
- Tajuk rencana yang mengandungi unsur 'kiri ke kanan' dalam wiki 'kanan ke kiri' mungkin dipaparkan dengan tidak betul dalam kategori dan laman khas
- Teks yang tersalah jajaran di laman fail (wiki 'kanan ke kiri' sahaja)
- Kearahan (kanan ke kiri/kiri ke kanan) takrifan mesti sepadan dengan kearahan bahasa tulisannya
- Lihat juga: Pepijat pengesan 'kanan ke kiri' untuk segala bentuk masalah 'kanan ke kiri'
Akhir sekali, terdapat satu ciri utama yang tiada dalam MediaWiki dan diringkaskan dalam Bug 6100: Allow different directionality (rtl/ltr) for user interface and wiki content. Saya berharap agar dapat mencari sumber untuk menangani isu ini tidak lama lagi.